TAPAH - Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon yang mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 5 April depan.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pada hari yang sama, mereka turut akan melancarkan jentera pilihan raya bagi PRK tersebut.
Menurutnya, majlis pengumuman calon itu diadakan sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.
"Sebelum hari penamaan calon ini, ada Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Tapah. Setiap tahun dia buat, jadi kita tumpang.
"Pada 5 April, hari Sabtu itu, kita akan melancarkan jentera dan pada hari yang sama kita akan umumkan nama calon," katanya kepada pemberita.
**media[3047586]**
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama di Dewan Dato' Kamaruddin, Bidor, di sini, pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Sementara itu, Saarani berkata, BN mempunyai strategi tersendiri untuk menangkis pelbagai tuduhan yang dibawa pembangkang, termasuk memainkan sentimen UMNO-DAP yang mereka sebut sebagai "Umdap".
Menurutnya, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh menafikan bahawa mereka pernah bekerjasama dengan DAP sebelum ini.
"UMNO-DAP dia sebut Umdap. Dia tak mahu sebut Pasdap (Pas-DAP). Saya akan sebut kalau dia mainkan isu itu. Tahun 2008, Pas-DAP menubuhkan kerajaan Perak, PAS dengan DAP.
"Tahun 2018, Datuk Seri Peja (Ahmad Faizal Azumu), Tun Dr. Mahathir sendiri menubuhkan kerajaan Pakatan Harapan atas nama 'Bersadap' (Bersatu-DAP), apa masalah? Kalau mereka mainkan isu ini, saya akan bawa slaid," katanya.
Pada Sabtu, Perikatan Nasional (PN) menjadi parti terawal melancarkan jentera pilihan raya sempena PRK DUN Ayer Kuning yang disempurnakan oleh Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.